Umar al-Khattab mencapai pedang, mengikatnya di pinggang dan keluar dari rumah. Dendam dan sakit hatinya membuak-buak. Mendengar cerita orang ramai bahawa agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. (Muhammad Abdullah) semakin mendapat sambutan, marahnya menggunung. Jika mendapat peluang, Umar memang tidak akan melepaskan Muhammad. Di pertengahan jalan, Umar ditegur oleh seorang lelaki Bani Zuhrah. “Aku hendak pergi membunuh Muhammad!” kata Umar dengan wajah garang. “Aku hendak beritahu satu berita yang mengejutkan. Adikmu, Fatimah dan suaminya, Said bin Zaid, sudah memeluk Islam,” kata lelaki itu. Umar terkejut besar mendengar berita itu.
Dia malu, sedih dan marah sekali gus. Tanpa bersuara sepatah pun, dia meluru ke rumah Fatimah. Fatimah dan suaminya kebetulan sedang belajar mengaji al-Quran bersama seorang lagi sahabat mereka, Khabbab al-Arati. Dia mengetuk pintu dengan keras sehingga menimbulkan kebimbangan kepada seisi rumah. “Aku Umar. Buka pintu!!” Khabbab orang pertama yang lari menyembunyikan diri. Fatimah dan Said pucat. Mereka sedia maklum, Umar adalah seteru Islam paling hebat ketika itu.
Umar sanggup melakukan apa sahaja untuk menghukum orang yang mengkhianati kepercayaan nenek moyang mereka. Bagaimanapun Fatimah memberanikan diri membuka pintu. Umar menerpa dengan muka garang. “Aku mendengar kamu membaca sesuatu.” “Apa yang kamu dengar? Kami tidak membaca apa-apa!” kata Fatimah. Dia sudah menyembunyikan mushaf yang mengandungi tulisan-tulisan ayat al-Quran. Tetapi dia bimbang jika abangnya itu berjaya merampas mushaf itu. “Aku dengar apa yang kamu baca.
Aku tahu kamu sudah menganut agama Muhammad,” herdik Umar. Dia lantas mencekak leher Said dan mahu memukulnya. Fatimah cuba mempertahankan suaminya. Pukulan Umar tidak mengena Said, sebaliknya tersasar ke arah Fatimah sehingga terkoyak kulit dahinya. “Ya, kami sudah memeluk Islam. Kami percaya Allah dan Rasul-Nya. Apa yang kamu nak buat, buatlah!!” jerit Fatimah. Melihat darah bercucuran di dahi Fatimah, Umar disentap rasa kesal. Dia kasihan kepada adiknya sendiri. Nadanya berubah menjadi lembut tiba-tiba, “Berikan aku mushaf yang kamu baca. Aku janji tak akan buat apa-apa. Aku hanya hendak tahu apa yang dibawa oleh Muhammad itu.” Fatimah teragak-agak tetapi Umar cuba meyakinkan, “Jangan takut, aku bersumpah dengan Tuhan Muhammad.
Aku akan kembalikan mushaf itu selepas membacanya.” Fatimah terkesan akan kejujuran Umar. Umar abangnya dan dia kenal akan sikap abangnya sendiri. Jauh di sudut hati, dia tahu Umar akan mengotakan janjinya. Fatimah menjawab, “Saudaraku Umar, kau masih najis kerana syirikmu. Al-Quran itu tidak boleh disentuh melainkan oleh orang yang suci.” Fatimah menyuruh Umar mandi. Selepas itu, barulah mushaf itu diserahkan kepadanya. Umar menerimanya dengan penuh minat, lantas membaca ayat dari Surah Taha. Selepas menghabiskan bacaannya, spontan terkeluar dari bibir Umar, “Alangkah indahnya ayat ini!” Khabbab yang masih menyembunyikan diri dalam kediaman Fatimah keluar ketika mendengar pengakuan Umar.
“Umar, demi Allah, aku pernah mendengar Muhammad berdoa, “Ya Allah, bantulah Islam dengan Abul Hakam Hisyam atau Umar al-Khattab.” Cepatlah Umar, segera dapatkan Muhammad!” Umar mendesak Khabbab membawanya bertemu Muhammad. Fatimah mendengar dengan hati penuh syukur. Dia tidak sangka abangnya yang keras hati itu akan terbuka hati terhadap Islam. Umar lalu beredar ke sebuah rumah berdekatan Bukit Saffa, tempat Muhammad mengajar agama kepada rakan-rakannya. Seorang sahabat dalam kediaman itu mengintai di lubang pintu ketika mendengar ketukan. Dia sangat terperanjat apabila melihat Umar berdiri di depan pintu dengan sebilah pedang.
Sahabat itu segera memberitahu Muhammad, tetapi bapa saudara Muhammad, Hamzah Abdul Mutalib menjawab berani, “Wahai Rasulullah, biarkan Umar masuk. Kalau dia mahukan yang baik, kita berikan yang baik. Kalau niatnya jahat, kami akan membunuhnya dengan pedangnya sendiri.” Muhammad kelihatan sangat tenang. Dalam hati baginda, terdetik doa yang pernah dipohonnya dulu. Kini Umar datang sendiri tanpa perlu sesiapapun memujuknya. Dia menyuruh orang membuka pintu dan Umar dipelawa masuk. Sebaik-baik saja lelaki itu masuk, Muhammad bangun menyambutnya lantas mereka berlalu ke sebuah bilik.
Baginda melepaskan kain serbannya ke tubuh Umar dan merentapnya dengan kuat. “Apa yang membawa kamu ke sini? Demi Allah, aku takut kamu tak akan serik sehinggalah Allah menurunkan bencana ke atasmu!”“Wahai Rasulullah, aku datang untuk beriman kepada Allah dan Rasul-Nya,” Umar membalas. Muhammad terus bertakbir sebaik-baik sahaja mendengar pengakuan itu. Doa baginda akhirnya termakbul. Seluruh masyarakat Islam yang masih kecil bilangannya ketika itu, bersyukur dan sangat mengalu-alukan kedatangan Umar ke dalam Islam.
Pengislaman Umar bermakna Islam yang baru mendapat tempat, akan bertambah kukuh dan gagah. Seluruh masyarakat Islam mengenangi Fatimah sebagai orang yang bertanggungjawab membawa nur Islam dalam diri Umar. Dia terus diingati sebagai srikandi yang cekal, pendakwah yang berani, yang berjaya menundukkan kedegilan, keegoan dan hati batu Umar al-Khattab.
0 Komentar:
Post a Comment